Sinopsis
Siapa yang tidak sukakan gimik? Hampir kebanyakan upacara atau pelancaran diselitkan dengan persembahan atau kejutan bagi memeriahkan lagi suasana tersebut. Tetapi sejauh mana aplikasi yang sama boleh dipraktiskan di laman web?Pengguna internet terutama yang melayari laman web boleh dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu:
- pengguna pertama kali datang (first time user)
- pengguna atau pengunjung tetap
Apabila satu laman web baru siap dibina dan dilancarkan, promosi yang dilakukan mungkin berjaya menarik ramai pelawat singgah untuk melihatnya. Setibanya di sana, mereka disajikan dengan gimik-gimik tertentu.
Antaranya seperti tetingkap popup menyambut kedatangan pengguna, irama muzik latar, radio atas talian dan beberapa pengiklanan (jarang dilakukan pada peringkat awal). Sekiranya saya salah seorang pelawat untuk kumpulan pertama, ia merupakan sambutan yang memberangsangkan.
Seandainya pengguna tertarik dengan kandungan, misi dan objektif yang digunakan pada laman tersebut tidak hairan untuk mereka kembali semula. Kedatangan kali kedua masih disajikan dengan gimik-gimik sama sebelum ini.
Adakah saya perlu melihat perkara yang sama?
Ini adalah persoalan subjektif. Laman web adalah satu kreativiti yang tidak mempunyai garis panduan khas untuk menyatakan ini perlu dan ini tidak perlu. Namun kajian membuktikan beberapa elemen mungkin mengganggu ekspresi pengguna.
#1 Penggunaan muzik latar
Memang tidak dinafikan masih terdapat beberapa karya laman web terutama laman blog atau peribadi masih menggunakan muzik latar di setiap halaman mereka. Kadang kala muzik ini latar boleh mengganggu ketenteraman pengguna.
Komputer pada hari ini sudah cukup berkuasa bagi menjana dan menjalankan beberapa tugasan secara serentak. Mereka boleh memasang lagu kegemaran sendiri tanpa memerlukan muzik latar dari laman web kita.
#2 Paparan tetingkap apungan
Tetingkap apungan atau "popup window" dapat memberi dan mencuri pandangan pengguna selain daripada halaman utama. Kerana mereka terpaksa menutup tetingkap tersebut sama ada merasakan ianya tidak penting atau mengganggu.
Pendapat ada mengatakan walaupun mereka menutup tetingkap tersebut, tetapi dalam masa yang sama iklan atau maklumat dalam tetingkap itu semestinya akan dilihat walaupun sekejap. Ianya sudah cukup untuk maklumat tersebut sampai kepada pengguna.
Tetapi kajian menunjukkan kebanyakan pengguna merasakan tetingkap apungan adalah mengganggu dan ianya dilihat tidak memberi sebarang kesan kepada penyampaian maklumat secara total.
#3 Penggunaan multimedia di laman utama
Laman perniagaan sudah tentu mahu mempromosikan sama ada perkhidmatan atau produk mereka dalam bentuk persembahan multimedia digital. Ia merupakan satu langkah yang efektif bagi menarik minat pengguna mengetahui lebih lanjut mengenai perkara tersebut.
Namun begitu, sejauh mana keberkesanan multimedia dalam membantu laman menyediakan pelantar yang seronok dilayari pengguna?
#4 Pengiklanan yang melampau
Pengiklanan merupakan salah satu cabang dalam memperoleh pendapatan sampingan sama ada untuk tujuan penyelenggaraan atau perkara lain-lain. Walaupun ia dilihat penting oleh sesetengah pentadbir, penggunaan iklan yang terlalu banyak menutup kandungan asal laman.
Selain daripada penggunaan masa yang lebih lama untuk dimuat turun, pengiklanan yang melampau menutup kreadibiliti kita sebagai pemilik laman. Lainlah sekiranya laman tersebut sememangnya adalah pusat pengiklanan.



Kemas kini: Apr 18, 2012

