18%
25%
50%
75%

Kripkorn Studios | Komuniti Drupal phpBB Malaysia

Pengaplikasian "Permission" pada moderator

Tutorial
Kebenaran (Permission), phpBB 3.x
Tentang artikel ini
Penulis: parasolx -- Apr 09, 2009
kemas kini Kemas kini: Dec 27, 2011

Sekarang kita akan beralih kepada pengaplikasi "Permission" terhadap Moderator. Dalam tutorial sebelum ini, saya ada menyatakan apakah fungsi-fungsi seorang moderator iaitu pembantu kepada Administrator.

Dalam proses penetapan "Permission" ini, terdapat dua cara untuk penetapannya iaitu secara kumpulan iaitu Global Moderator dan secara individu iaitu kuasa seorang moderator akan diberikan kepada pengguna yang tertentu. Selain itu, saya akan tunjukkan juga penetapan moderator terhadap individu/kumpulan tertentu pada forum-forum tertentu.

Jadi secara kasarnya, penetapan kuasa seorang moderator boleh dilakukan sama ada terhadap kumpulan, individu atau forum.

Penetapan kuasa moderator pada kumpulan

Mulakan dari ACP utama, klik pada "Permissions" tab dan klik pautan Global Moderator. Anda akan dapat perhatikan paparan yang keluar adalah sama pada tutorial sebelum ini. Ini adalah paparan yang biasa anda akan temui. Saya tidak meletakkan gambar sekadar cukup untuk menulis sahaja.

Sebelah kiri adalah untuk tetapan secara individu yang akan saya tunjuk kemudian nanti. Kita fokus pada bahagian sebelah kanan sahaja, iaitu Group (Kumpulan). Secara asalnya, sistem phpBB telah memasukkan kumpulan "Global Moderator" ke dalam ruangan di sebelah atas kanan. Klik pada nama tersebut dan seterusnya klik butang "Edit permissions".

Anda boleh memilih dari senarai jatuh tersebut jenis "Permission" yang akan diberikan kepada kumpulan ini. Secara asal, phpBB telah memberikan kebenaran sebagai "Full Moderator" pada kumpulan ini. Jika anda ingin mengubahnya, tukarkan dengan pilihan lain dan klik "Apply all permission".

Anda juga boleh memilih kebenaran tertentu dengan klik pada "Advanced Permissions" kemudian tentukan kebenaran mengikut kemahuan anda. Setelah disahkan, sesiapa sahaja yang dimasukkan dalam kumpulan ini, akan mempunyai kebenaran untuk mengendalikan pos-pos atau topik seperti yang telah dibincangkan dalam topik terdahulu.

Penetapan kuasa moderator pada individu

Kembali semula ke bahagian 4 ruangan kosong tadi dan kita akan fokuskan pula pada bahagian kiri iaitu penetapan kuasa moderator untuk individu. Anda perlu memilih dahulu pengguna terlebih dahulu dengan klik "Find a member" pada ruangan bawah sebelah kiri. Klik "[ Select ]" untuk memasukkan pengguna tertentu. Anda boleh membuat pilihan seberapa banyak untuk senarai nama pengguna.

Seterusnya klik butang "Add permission". Paparan berikut akan ditayangkan.

Seperti tadi juga, pilih jenis kebenaran untuk Moderator untuk setiap individu (sekiranya terdapat banyak senarai pengguna) yang ditunjukkan. Jika ingin melakukan pengubahsuaian tertentu, klik sahaja pautan "Advanced permissions".

Setelah semuanya selesai, klik butang "Apply all permission". Anda akan dapat perhatikan bahawa senarai nama pengguna yang terpilih tadi sudah dimasukkan pada ruangan sebelah kiri atas.

Penetapan kuasa moderator pada forum

Dua langkah penetapan tadi memberikan kuasa kepada golongan tadi untuk menjadi Moderator pada semua forum. Sekiranya anda mahu satu-satu kumpulan itu atau pengguna tertentu menjadi Moderator pada forum tertentu sahaja, maka kita perlu lakukan penetapan kuasa moderator pada forum.

Akses ke bahagaian ini: ACP > Permissions > Forum based permissions > Forum moderators

Satu paparan pemilihan senarai forum akan dipaparkan. Saya beranggapan anda sudah biasa dengan paparan ini kerana telah ditunjukkan dalam tutorial sebelum ini. Jadi andai kata kita mahu menetapkan kuasa moderator pada forum HTML, klik forum tersebut dan klik butang "Submit".

Sekali lagi paparan seperti di atas akan dipaparkan. Anda hanya perlu lakukan seperti yang telah saya terangkan untuk penetapan kuasa Moderator bagi Kumpulan atau Individu di atas.

Apa yang membezakan untuk penetapan forum ini adalah, 2 penetapan yang sebelum ini tidak akan memaparkan senarai moderator pada senarai forum sebaliknya ianya menjadi rahsia pihak Administrator sahaja. Tetapi penetapan kuasa moderator pada forum ini akan menyenaraikan ke semua ahli-ahli yang telah diberikan kuasa moderator.

Anda akan dapat melihat senarai pada papan forum utama seperti ini: