Pengenalan kepada kumpulan
Kumpulan atau "Grouping" merupakan antara fungsi yang telah disediakan oleh phpBB bagi memudahkan kita untuk mengendalikan pengguna mengikut kategori secara pukal. Secara asasnya, setiap tetapan yang disediakan perlu kita lakukan tiap-tiap satu pengguna.
Tetapi dengan adanya Kumpulan ini akan memudahkan kerja pihak pengendali contohnya kumpulan moderator, kumpulan VIP dan lain-lain lagi. Antara kelebihan kumpulan ini, setiap penetapan seperti kebenaran, avatar, tandatangan boleh dilakukan hanya terhadap kumpulan sahaja dan setiap ahli-ahli di dalam kumpulan tersebut akan menerima tetapan yang sama selagi tidak diubah suai oleh pengguna tersebut secara manual.
Adaptasi kumpulan
Selain itu, kumpulan juga membolehkan kita mengasingkan ahli-ahli berdaftar yang tertentu dari ahli-ahli yang biasa. Antara idea yang boleh dipraktiskan melalui kumpulan ini adalah sekiranya kita ingin membangunkan satu forum untuk kegunaan sekolah, pengelasan setiap tingkatan seperti tingkatan 1, tingkatan 2, guru, pekerja am dan sebagainya boleh dilakukan melalui penyenaraian dan kemasukkan ahli berdaftar ke dalam kumpulan tersebut.
Sekiranya kebenaran untuk kumpulan tingkatan 1 ditetapkan supaya dapat melihat forum tingkatan 1, maka ahli-ahli yang tergolong di dalam kumpulan tersebut akan mempunyai kebenaran secara automatis untuk melihat forum tingkatan 1. Dan begitulah seterusnya.
Sekiranya dalam bidang kerjaya, mungkin boleh diadaptasikan sistem perkumpulan ini untuk pekerja, majikan, pekerja am dan selanjutnya. Pada dasarnya, kumpulan ini memudahkan kerja pihak pengendali dan menghadkan kuasa setiap ahli dalam kumpulan hanya melalui penetapan tetapan untuk kumpulan tersebut sahaja.
Namun tidak semua fungsi yang ada di dalam phpBB boleh diadaptasikan menerusi kumpulan seperti Custom Field. Ianya perlu ditetapkan secara manual oleh pengguna.



Kemas kini: Dec 28, 2011